Saturday 4 February 2012

Ikhwan Akan Bekerjasama Dengan Semua Pihak Untuk Mengislahkan Mesir





Ikhwan Muslimin (IM) akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Parti Nur (parti yang didokong oleh pengikut aliran salafi) untuk mengislah Negara Mesir. Demikian penegasan yang dibuat oleh Naib Murshid Am, Dr Mahmoud Ezzat, semasa menjawab soalan daripada salah seorang yang hadir dalam sesi ceramah umum anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) di Shah Alam pada hari Ahad, 29 Januari 2012 yang lalu.






Soalan yang dikemukakan adalah tentang kenapa Parti Kebebasan dan Keadilan (Freedom and Justice Party – FJP) tidak mahu bergabung dengan Parti Nur bagi membentuk kerajaan Mesir yang baru.


Dalam pilihanraya Mesir yang pertama selepas kejatuhan Hosni Mubarak yang baru berakhir, FJP telah memenangi jumlah kerusi tertinggi. FJP telah memenangi 235 kerusi daripada 498 kerusi yang dipertandingkan. Ini merupakan penguasaan 47% daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Manakala Parti Nur menduduki tempat kedua dengan mendapat 125 kerusi yang bersamaan dengan 25% daripada kerusi Parlimen. Gabungan antara dua parti Islam ini akan membolehkan mereka menguasai 72% daripada kerusi Parlimen.


Terdapat cadangan dan desakan dari pelbagai pihak agar FJP bergabung dengan Parti Nur bagi membentuk kerajaan baru Mesir. Namun menurut pandangan Dr Mahmoud Ezzat, FJP berhasrat untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk mengislah negara Mesir.


Pendirian dan pendekatan ini amat menarik sekali. Ternyata aliran politik yang ingin dibawa oleh IM berbeza daripada aliran pemikiran dan kerangka politik demokrasi yang konvensional yang melihat dari sudut pemerintah melawan pembangkang.


Pendekatan IM dan FJP untuk mengajak semua pihak bersama-sama bagi membangunkan negara Mesir merupakan langkah yang amat bijaksana bagi memastikan Revolusi Mesir ini terus mendapat sokongan dan dokongan rakyat. Dr Mahmoud Ezzat menegaskan bahawa jika FJP bergabung dengan Parti Nur, nescaya ini akan meminggirkan penyokong parti-parti lain dalam usaha untuk bersama-sama membangunkan Mesir.


Strategi dan pendekatan ini jika diteliti adalah juga merupakan lanjutan kepada strategi dan pendekatan yang diambil semasa berlakunya kebangkitan rakyat Mesir di Medan Tahrir setahun yang lalu. IM mengambil pendekatan untuk mengenengahkan bahawa kebangkitan tersebut adalah kebangkitan rakyat. Tidak ada bendera atau poster yang berlambangkan IM dibenarkan untuk dibawa dan diperlihatkan di Medan Tahrir.


Positioning yang diambil oleh IM ini dijelaskan oleh Dr Mahmoud Ezzat melalui ayat Al Quran, surah Al Baqarah, ayat 143 yang bermaksud:


“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi saksi (orang yang memberi keterangan kepada umat manusia tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”


Positioning (kedudukan) sebagai ummatan wasatan, umat pertengahan, ini merupakan positioning yang dituntut oleh Allah swt kepada umat Islam lebih-lebih lagi kepada gerakan Islam. Mengambil kedudukan umat pertengahan dan sederhana bermakna melaksanakan Islam menepati apa yang dituntut oleh Allah swt; tidak berlebih-lebihan serta dan tidak pula mengurang-ngurangkan. Tidak bertindak ekstrim ke kiri mahu pun ke kanan. Sebaliknya menepati apa yang diajar oleh Rasulullah saw.


Memiliki sifat ummatan wasatan ini merupakan salah satu pra syarat penting untuk menjadi syuhada a’alannas; saksi kepada manusia. Seorang saksi hendaklah orang yang dipercayai dan dapat memberi keterangan kepada manusia tentang yang benar dan yang salah. Seorang yang ekstrim dan melampau tentunya tidak dapat menjadi saksi yang dapat diterima.


IM telah berusaha mempertahankan positioning ummatan wasatan sepanjang sejarah pergerakannya. Ketika terdapat desakan untuk mengkafirkan mereka yang menzalimi ahli-ahli IM, IM mengambil pendirian yang tegas dan sederhana: kita pendakwah, bukan penghukum. Ketika aliran menggunakan keganasan berleluasa selepas peristiwa 911, IM mempertahan cara gerak kerja yang berasaskan dakwah dan tarbiah dan non violent movement. Fatwa Dr Yusof Qaradhawi berkaitan dengan syahid apabila meletupkan diri sendiri bagi menghadapi Israel, itu hanya fatwa khusus yang hanya terpakai di Palestin dalam menghadapi kezaliman Israel yang amat melampau.


Kemampuan IM untuk mempertahankan positioning ummatan wasatan ini dipercayai merupakan antara sebab penting kenapa IM mendapat sokongan besar dalam pilihanraya Mesir baru-baru ini. Rakyat Mesir melihat IM merupakan kumpulan yang boleh diharapkan, yang boleh menjadi syuhada a’alannas.

Ternyata pimpinan IM berpandangan jauh. Mereka tidak mahu kemenangan yang sementara. Mereka belum mahu memetik buahnya sebelum ia benar-benar masak.
IM kini dilawati oleh pelbagai pihak termasuk mereka yang sebelum ini melihat IM dengan penuh curiga kerana tidak mendapat gambaran yang tepat tentang IM. Umpamanya, John Kerry dan mantan Presiden Amerika, Jimmy Carter telah bertemu dengan Murshidul Am IM, Dr Muhammad Bade’.





Semasa menemubual beliau, Dr Mahmoud Ezzat menjelaskan bahawa antara perkara yang diakui oleh Jimmy Carter adalah Amerika telah melakukan beberapa kesilapan berhubung dengan Timur Tengah. Antaranya adalah dengan menyokong diktator-diktator yang terdapat di Timur Tengah. Jimmy Carter juga menjelaskan bahawa beliau telah memberi pandangan kepada Presiden Obama untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama ini.


Menurut Dr Mahmoud Ezzat, ramai pemimpin seluruh dunia dan para diplomat datang untuk mengadakan hubungan dengan IM. Malah, menurutnya, pada satu ketika seramai tujuh belas orang duta negara luar yang berkunjung ke Ibu Pejabat IM dalam satu hari. Mereka ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan siapakah IM yang sebenarnya.


Usaha untuk membangunkan semula negara Mesir bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan hutang negara yang besar dan sistem kenegaraan yang sebelum ini hanya berlegar di sekeliling seorang Presiden, usaha bagi membina semula sistem pemerintahan, pentadbiran dan sistem sosio ekonomi tentulah memerlukan penyertaan semua pihak.


Kesungguhan dan komitmen kuat IM untuk mempertahankan positioning ummatan wasatan akan, insyaAllah, menjadikannya suatu gerakan yang terus disenangi dan dipercayai oleh masyarakat.


Kita doakan usaha gigih IM bagi membangunkan negara Mesir bersama-sama rakyat Mesir akan mencapai kejayaan dan dibantu oleh Allah swt.

Nahar Md Nor
5 Februari 2012