Ikhwan Muslimin: Duduk bantah sehingga Perlembagaan dan Presiden Morsi
dikembalikan mertabat dan kedudukan asalnya!
Oleh Nahar Md Nor
Ikhwan Muslimin menegaskan bahawa tindakan duduk bantah
di Medan Rabiatul Adawiah (Rabaa) dan di seluruh negara Mesir akan diteruskan
sehingga Mesir kembali kepada sebuah negara berperlembagaan yang sah di mana
ini termasuklah mengembalikan semula jawatan Presiden Morsi, Perlembagaan
Negara dan Majlis Syura.
Demikian pendirian Ikhwan yang disampaikan oleh
jurucakapnya, Gehad El-Hadad dalam temuramah dengan Daily News Egypt yang
disiarkan pada Ahad, 21 Julai 2013.
Versi asal, dalam Bahasa Inggeris boleh dibaca di sini:
Penulis berpandangan temuramah ini harus diteliti dan
difahami oleh semua pihak kerana ia megandungi perkembengan-perkembangan
terkini di Mesir serta pendirian-pendirian rasmi Ikhwan Muslimin dalam banyak perkara pada
masa yang sangat kritikal ini.
Oleh itu penulis telah mengambil inisiatif untuk
menterjemahkan temuramah tersebut agar ia dapat dibaca dan diteliti oleh lebih
ramai pembaca.
Sila ikuti keseluruhan temuramah tersebut:
Temuramah: Gehad El-Haddad: “Ini adalah negara polis, kembali dengan kuasa
yang ganas dan kejam”
Gehad El Haddad, jurucakap Ikhwan Muslimin (Foto oleh Aaron
T. Rose/DNE)
Sebagai permulaan,
bolehkah anda mula dengan menjelaskan laporan yang mendakwa bahawa Ikhwan
Muslimin bersedia untuk berunding dengan pihak tentera dengan Kesatuan Eropah
(EU) bertindak sebagai orang tengah?
Saya rasa Reuters telah membesar-besarkan perkara ini. Fakta
yang sebenar adalah bahawa EU memohon mengadakan pertemuan dengan Ikhwan.
Mereka mahu memahami pendirian kami dan apakah yang akan membawa kami ke meja
perundingan dengan pihak tentera.
Jawapan kami adalah, secara rasmi dan tidak rasmi; kita
memberitahu [Catherine] Ashton (Ketua Dasar Luar EU: penterjemah) bahawa tiga
perkara berikut perlu dipenuhi:
Pertama, menolak rampasan kuasa tentera dan mengembalikan
kepada keadaan sebelumnya, mengembalikan semula negara Mesir kepada negara
berperlembagaan yang sah, termasuk mengembalikan semula jawatan Presiden Morsi,
Perlembagaan Negara dan Majlis Syura.
Kedua, mengutuk rampasan kuasa tentera. Menyatakan bahawa ia
adalah satu rampasan kuasa tentera dan mengutuk negara-negara yang mengiktiraf
rampasan kuasa tentera tersebut.
Ketiga, mengutuk pencabulan hak asasi manusia, pencabulan
dan jenayah yang dilakukan oleh rejim rampasan kuasa.
Ini adalah permintaan kami. Jika anda ingin meletakkan semua
ini dalam konteks apa yang mereka maksudkan dari segi perbincangan dan
rundingan, ini adalah seperti pra-syarat sebelum bermulanya apa sahaja. Selepas
itu, segala-galanya adalah di atas meja perunding perdamaian nasional. Ini
termasuk pindaan perlembagaan, pilihan raya parlimen, pilihan raya presiden;
keseluruhan hala tuju (road map) yang
dinyatakan oleh Presiden dua hari sebelum rampasan kuasa dan hala tuju yang
yang sama itulah yang disebut oleh Menteri Pertahanan sekarang, [Abdul Fatah]
Al-Sisi. Itu semua adalah perkara yang sama dari satu segi, perbezaannya adalah
satu berasaskan kesahihan perlembagaan manakala satu lagi berasaskan kereta
kebal tentera.
Anda mengatakan ada
pra-syarat untuk rundingan, tetapi pada masa Mohamed Morsi menjadi Presiden,
beliau tidak menerima pra-syarat untuk datang ke meja rundingan untuk perdamaian
nasional.
Jadi, sekarang kita membandingkan seorang Presiden dipilih
dengan kereta kebal tentera?
Tidak, tetapi ia
mungkin sukar untuk membawa orang ke meja dengan adanya pra-syarat.
Sudah tentu, kita tidak berminat untuk membawa tentera
kepada mana-mana meja perundingan. Malah, apabila saya berkata dialog
kebangsaan dan perdamaian, ia tidak melibatkan pihak tentera. Tentera bukan
golongan yang harus terlibat dengan politik dan mereka perlu memahami perkara
ini. Peranan tentera adalah di berek-berek dan mereka perlu ditolak kembali ke
berek dan tidak dibenarkan pada bila-bila masa untuk mempunyai apa-apa peranan
dalam dunia politik di Mesir.
Kami telah mengalami penderitaan sebanyak dua kali dengan membenarkan tentera untuk
mengambil peranan politik di Mesir. Sebelum ini adalah pada tahun 1954 apabila
kami, dengan penuh kenaifan dan kejahilan, telah memberi kepercayan kepada
pihak tentera untuk melaksanakan pilihan raya secara demokratik.
Malangnya
mereka tidak pernah laksanakan. mereka perlu ditolak kembali ke berek.
Ahli-ahli politik dan rakyat Mesir perlu mengembalikan negara Mesir ke tangan
mereka, dan mereka telah lakukannya selepas revolusi 25 Januari. Kami
laksanakan pilihanraya Presiden, pilihan raya Parlimen, dua pindaan
perlembagaan dan satu referendum perlembagaan. Tetapi selepas itu semuanya
dimusnahkan oleh tentera. Adakah terdapat apa-apa jaminan mereka tidak akan
lakukan sekali lagi?
Kita telah
membincangkan apa yang tidak boleh dirunding dan apa yang boleh dirunding?
Segala-galanya. Apabila kita wujudkan kesinambungan
perlembagaan, segala-galanya boleh dirunding. Mengikut logik, Ikhwan Muslimin
sekarang berada di paras yang rendah dari segi populariti di kalangan pengundi.
Mengapa tidak diadakan pilihan raya parlimen? Akan wujud nanti wakil rakyat
yang sah; mereka akan dapat mengesahkan pindaan perlembagaan dan seterusnya
boleh melakukan referendum, meminta agar Presiden meletak jawatan, mengadakan
pilihan raya presiden yang lebih awal atau mengadakan referendum bagi
menentukan samada presiden harus terus memegang jawatan tersebut. Mereka akan
menjadi wakil rakyat yang sah.
Bukan seperti sekarang di mana tentera memilih
pihak yang membantah kerana ia lebih menarik kepada mereka daripada pihak yang
lain dan tentera membuat keputusan untuk memihak kepada golongan tersebut,
kerana tentera tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, sekurang-kurangnya,
ia tidak patut melakukannya.
Satu laporan dari
Guardian minggu lalu menyebut bahawa ahli Ikhwan Muslimin Mohamed Ali Bishr,
mendakwa bahawa dia telah bertemu dengan tentera untuk mengadakan rundingan.
Adakah sesiapa dari Ikhwan atau National
Coalition for Legitimacy mempunyai sebarang hubungan dengan tentera atau
kerajaan interim?
Dengan tentera? Ya.
Mohamed Ali Bishr memang ada melakukan pertemuan, tetapi ia
bukan rundingan. Kami tidak pernah menutup pintu kepada komunikasi kerana ia
membolehkan pihak lain untuk memahami pendirian pihak yang lagi satu, dan
itulah apa yang berlaku. Mereka bertanya kepada kami apakah pendirian kami dan
kami berkata, "anda fikir anda menjemput kami untuk apa-apa jenis dialog
dengan menghantar peluru hidup, membunuh penunjuk perasaan kami, menutup
pejabat kita, merampas harta, menutup saluran television, menutup akhbar dan
memenjarakan pemimpin-pemimpin kami sewenang-wenangnya? 'Adakah itu bentuk
mesej bagi menjemput sesiapa ke meja
perundingan? Sudah tentu tidak.
Kami memaklumkan keengganan kami, serta menyatakan bahawa
ini adalah rampasan kuasa tentera; kami tidak akan mengesahkannya dan
hakikatnya ialah bahawa setiap keputusan yang mereka buat adalah tidak sah. Ia
dapat disanggah pada bila-bila masa dan saya membayangkan bahawa gerakan
anti-rampasan kuasa ini akan mengambil masa kira-kira setahun, selepas itu, selepas
ia menang, dan ia akan menang, dan itu adalah kehendak rakyat. Tidak ada cara
lain selain daripada itu. Pada abad ke-21, satu rampasan kuasa tentera tidak
akan dapat menguasai negara. Apabila tentera merampas kuasa, setiap keputusan
yang diambil oleh kerajaan rampasan kuasa tentera,
(Presiden mereka yang
dilantik, Perdana Menteri mereka yang dilantik, apa-apa perjanjian Tabung
Kewangan Antarabangsa atau pinjaman, atau keputusan pelantikan atau perubahan
undang-undang) semua itu akan terpadam dalam sekelip mata kerana semuanya itu
dilakukan tanpa asas yang sah.
Terdapat banyak
kekeliruan berkaitan dengan siapa yang telah dipenjarakan dan untuk berapa
lama. Siapakah pimpinan utama Ikhwan Muslimin yang kini berada di dalam
penjara?
Bilangannya semakin bertambah, terdapat dua kumpulan. Yang
pertama adalah pasukan presiden; terdapat sepuluh orang yang ditahan dengan
Presiden. Untuk rekod, Pakinam Sharkawy tidak pernah menjadi salah seorang
daripada mereka, dia dibenarkan untuk beredar lebih awal, sejurus selepas
ucapan rampasan kuasa oleh Al-Sisi. Selepas itu mereka berada dalam tahanan,
tidak dibenarkan berkomunikasi, tiada komunikasi atau interaksi dalam bentuk
apa sekalipun.
Terdapat juga ahli-ahli Ikhwan Muslimin yang ditangkap,
Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dan ahli-ahli kumpulan yang lain, bukan
hanya kami. Pada asasnya, mana-mana kumpulan yang berdiri di hadapan rampasan
kuasa tentera. Mereka bermula dengan menangkap Mahdi Akef, mantan Murshidul Am
Ikhwan, berusia 88 tahun, Khairat El-Shater Naib Murshidul Am, Dr [Rashad]
Bayoumi seorang lagi Naib, Dr (Saad) Al-Katatni, mantan speaker parlimen yang
juga Presiden FJP, Abdel Moneim Maqsoud, seorang peguam FJP yang pergi untuk
menyiasat mengapa Al-Katatni berada di penjara, dan mereka berkata, “baik, kami
akan tangkap anda juga”. Ini adalah negara polis, kembali dengan penuh kekuasan
yang keras dan ganas.
Anda berkata tidak
ada komunikasi sama sekali. Salah seorang daripada mereka yang ditahan dengan
pasukan presiden adalah bapa anda Essam El-Haddad. Adakah anda mempunyai
apa-apa komunikasi dengan dia?
Tiada interaksi, tiada komunikasi. Salah seorang daripada
ahli pasukan Presiden telah menelefon salah seorang ahli keluarga beliau dan
berkata, "Kami ok". Itu sahaja. Pihak tentera hanya memaklumkan satu
perkara sahaja, iaitu mereka ditahan di satu tempat yang dirahsiakan.
Apakah yang anda tahu
tentang Mohamed Morsi, ada apa-apa maklumat mengenai lokasi atau keadaan
beliau?
Tidak ada sama sekali. Sama ada secara rasmi atau tidak
rasmi. Beliau adalah Presiden yang diculik dengan pasukannya, secara
literalnya. Setakat yang kita faham, pasukannya ada bersamanya, kita tidak
mempunyai bukti sebaliknya tetapi kita menjangkakan mereka berada bersama-sama.
Ikhwan telah menolak
untuk bertemu dengan Timbalan Setiausaha (Amerika Syarikat) William Burns,
tetapi bertemu dengan Catherine Ashton dari EU, mengapa terjadi begini?
Kami tidak menolak; ada permintaan untuk bermesyuarat. Kami
berkata mari kita bermesyuarat, ia hanya tidak pernah berlaku kerana masalah
logistik bagi menganjurkannya. Kami tidak pernah menutup pintu untuk mengadakan
dialog dengan sesiapa sahaja. Akhirnya, kami mahu menjelaskan pendirian kami supaya orang
memahami apakah pendirian kami, apa yang sedang kami lakukan dan apa yang kami
ingin lakukan. Ini adalah apa yang Ikhwan Muslimin lakukan dan apa yang National Coalition for Legitimacy dan
Gerakan Anti-Rampasan Kuasa lakukan.
Kami telah lakukan ini dengan Ashton dan
kami bersedia untuk melakukannya dengan sesiapa sahaja. Akhirnya, seluruh dunia
perlu memahami ia adalah satu rampasan kuasa tentera, dan tidak kelihatan bodoh
dengan cuba untuk tidak menggunakan perkataan 'rampasan kuasa tentera'.
Semua
tindakan ini hanya akan meningkatkan ketidakpercayaan kepada sikap kepura-puraan
dan hipokrasi Barat: cuba untuk menganjurkan demokrasi selama beberapa dekad dan
dalam ujian pertama ini mereka telah gagal.
Adakah anda merasakan
bahawa Amerika Syarikat telah berpihak dengan tentera dan kerajaan interim
dengan apa-apa cara?
Ia adalah salah satu daripada dua perkara berikut: sama ada
Amerika Syarikat bersubahat dalam konspirasi rampasan kuasa tentera, atau
Amerika Syarikat benar-benar mengalu-alukannya. Tidak ada yang yang lain, tidak
ada pilihan ketiga di sini dan ini adalah kerana kedudukan kepimpinan yang
Amerika Syarikat telah letakkan dirinya, itulah juga kenapa dunia kini berada
dalam keadaan yang bercelaru pada masa ini. Negara utama yang telah
menganjurkan demokrasi di seluruh dunia adalah yang negara paling hipokrit kerana
menyebelahi kepentingan sendiri, atau dilihat sebagai kepentingan sendiri dan
bukannya berasaskannnya prinsip.
Maka tidak hairanlah jika Amerika Syarikat adalah negara
yang paling dibenci di kedua-dua pihak itu sekarang, kerana mereka cuba untuk
berjalan di atas garisan yang tidak wujud. Anda perlu memilih salah satu,
adakah anda bersama dengan prinsip demokrasi atau adakah anda berdiri dengan
apa yang dilihat sebagai kepentingan sendiri. Adalah satu kenaifan jika anda
berfikir bahawa kepentingan anda adalah bersama tentera, sedangkan untuk
pertama kalinya kami mempunyai peluang untuk membina sebuah negara demokrasi
yang baru muncul di Mesir yang boleh berjaya dalam sekelip mata. Ia adalah satu
proses yang sangat panjang dan memerlukan banyak penyertaan dan sokongan, dalam
dan luar Mesir, tetapi anda telah membenarkan negara-negara jiran untuk
menjejaskan kestabilan pentadbiran Morsi.
Antara negara-negara
jiran yang anda rujuk?
Negara-negara Teluk, mereka yang mengiktiraf rampasan kuasa,
negara-negara yang sabotaj bantuan kepada Mesir lebih daripada sekali.
Negara-negara yang kini, apabila rampasan kuasa berlaku, bergegas untuk
mengiktirafnya; tiba-tiba Mesir menjadi rakan mereka yang terbaik dan mereka
lambakkan banyak wang, $12billion, ke dalamnya. Demokrasi akan mengubah rantau ini
jika ia dibenarkan berlaku kerana rakyat bercita-cita untuk mempunyai kebebasan
untuk memilih pemimpin mereka sendiri, tetapi jika anda menutup jalan untuk
pemindahan kuasa secara aman melalui cara demokratik, anda telah mengurangkan
keupayaan orang-orang bijaksana untuk menundukkan hujah yang menggalakkan
keganasan. Sekarang hujah kami terima daripada mereka adalah “kami dah katakan. Demokrasi adalah untuk
semua orang kecuali kepada parti Islam '.
Ramai yang mengatakan
bahawa semasa pemerintahan Morsi, beliau melaksanakan amalan yang tidak
demokratik: sebagai contoh, pengisytiharan perlembagaan November 2012,
pelantikan Talaat Abdallah sebagai pendakwa umum dan cara perlaksanaan
referendum perlembagaan secara tergesa-gesa.
Cara anda bertanya soalan telah memberi indikasi di mana
letaknya masalah tersebut. Anda berkata bahawa perlembagaan telah dilaksanakan
secara tergesa-gesa. Itu tidak benar, ia mengambil masa enam bulan, kini
kerajaan interim mengumumkan perlembagaan dalam tempoh empat bulan. Ia
mengambil masa enam bulan, bukan kerana Morsi memilih itu tetapi sebenarnya
kerana Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) telah meminda perlembagaan pada
tahun 2011 dan mengunci pelan tindakan dan menuntut masa selama enam bulan
untuk menulis perlembagaan. Kebanyakan pilihan tindakan yang kita ada semuanya
tersekat oleh proses interim, yang ditentukan oleh SCAF pada masa itu. Malah
kemusnahan Parlimen adalah juga melalui cara yang sama.
Mari kita tetapkan dua peraturan di sini. Pertama, tiada
siapa yang mempunyai hak, walaupun Jabatan Negara (Amerika Syarikat), untuk
mengatakan bahawa pemerintahan Morsi adalah tidak demokratik. Ia bukan hak anda
untuk berkata demikian. Satu-satunya orang yang boleh berkata demikian adalah
rakyat Mesir. Kedua, rakyat Mesir tidak bercakap melalui rancangan “talk show”
di television atau melalui akaun Twitter atau pemimpin yang tidak dilantik yang
tidak boleh bercakap mewakili rakyat Mesir. Rakyat Mesir bercakap melalui dua
cara: sama ada secara langsung melalui peti undi atau melalui badan-badan
perwakilan mereka.
Terdapat dua badan-badan perwakilan di Mesir: Presiden dan
Majlis Syura. Bagi yang lain, ia adalah pendapat dan tidak dikira kecuali
apabila ia diletakkan ke dalam konteks proses demokrasi. Dalam konteks itu, apa
yang kami beritahu kepada semua orang adalah 'mari kita adakan pilihan raya
parlimen”. Sekurang-kurangnya, maka anda akan mempunyai Ahli Parlimen yang
mempunyai legitimasi untuk bercakap bagi pihak rakyat, dan mereka akan
mempunyai suara untuk bercakap tentang sama ada presiden ini adalah demokratik,
jika dia telah melakukan yang terbaik.
Mereka akan menyuarakan pendapat mereka
sama ada kita perlu mengadakan ada pilihan raya presiden lebih awal atau
referendum bagi menentukan presiden harus terus menjawat jawatan tersebut,
namun ia perlu melalui proses demokrasi. Bukannya berakhir dengan calon
presiden yang gagal yang sentiasa menjauhkan diri dari setiap pilihan raya dan
kemudiannya pergi merengek kepada tentera, dan kemudiannya diletakkan sebagai
kepimpinan negara secara paksaan kerana tentera fikir dia cukup comel untuk
jawatan tersebut.
Siapa yang anda
maksudkan?
Dr [Mohamed] ElBaradei
Akhbar Daily News
Egypt baru-baru menemubual jurucakap tentera. Dia menuduh Ikhwan menggunakan
senjata dan menyifatkan taktik Ikhwan sebagai "peperangan
propaganda". Adakah anda mempunyai respon terhadap kenyataan tersebut?
Saya fikir mereka pada dasarnya menerangkan taktik mereka
sendiri, kerana bukti-buktinya jelas. Tentera masih mempunyai kenaifan untuk
berfikir bahawa kita masih berada pada tahun 1954 dan 1956 kerana mereka
merencanakan perkara yang sama sebelum ini. Tetapi ini adalah era digital, ini
adalah era di mana semua orang dengan iPhone atau kamera boleh merakam apa yang
sedang berlaku. Beberapa jam selepas persidangan akhbar mereka berates-ratus
video muncul di YouTube menunjukkan pembunuhan beramai-ramai dari setiap sudut
dan ia benar-benar menyokong kisah di pihak kami, dan tentera terus malu untuk
mendedahkannya lagi. Mereka perlu mengakui hakikat bahawa mereka menggunakan
peluru hidup tanpa amaran, membunuh penunjuk perasaan pada waktu subuh semasa
mereka solat. Maksud saya, apakah kebodohan yang mempengaruhi mereka, apa
kezaliman yang menguasai sehingga mereka membunuh rakyat mereka sendiri dengan
peluru mereka sendiri, gaji mereka dibayar oleh oleh pembayar-pembayar cukai
Mesir?
86 meninggal dunia pada satu pagi atas arahan tentera. Kita
tidak boleh membenarkan ini berterusan, dan tidak kira apa sahaja yang mereka katakan
ia adalah sebuah negara polis, kembali dengan kuasa yang zalim. Mereka sendiri
yang membunuh rakyat Mesir secara beramai-ramai, mereka merekacipta bukti dan
keterangan dan mereka memotong dan mengedit rakaman video dari adegan yang
berbeza dan cuba untuk mempersembahkannya sebagai bukti. Pasukan polis
mereka-reka cerita-cerita yang diperlukan, badan kehakiman bersubahat menerima
keterangan dan media menjual kepada orang ramai dan anda mempunyai kes.
Perkara yang sama
juga telah berlaku dari pihak anda juga; terdapat gambar dua orang kanak-kanak
Syria yang didakwa terbunuh di luar ibu pejabat Pengawal Republikan.
Salah satu laman web yang berkaitan dengan Ikhwan Muslimin
adalah sebuah laman web tidak rasmi. Akhirnya, terdapat beberapa wartawan yang
berbeza yang menulis artikel tersebut dan menggunakan gambar-gambar mereka
sendiri, sudah tentu mereka akan membuat kesilapan. Kami mempunyai maklumat
tentang apa yang berlaku di tiga buah hospital, dan pusat perubatan Rabaa, dan
kami mempunyai laporan yang soheh oleh mereka yang menyaksikan kejadian serta rakaman video
tentang apa yang berlaku di sana. Ia adalah satu bantahan secara aman yang
dilakukan oleh lelaki, wanita dan kanak-kanak. Kematian kini direkodkan dan
semua orang mempunyai salinan-salinannya.
Jumlahnya 51 orang dan selebihnya masih dalam proses
pengesahan. Human Rights Watch dan Amnesty International menerbitkan laporan
mereka berdasarkan laporan saksi. Malangnya kebanyakan orang-orang yang
meninggal dunia daripada 86 orang, tidak mati kerana tembakan peluru terus ke
kepala tetapi akibat daripada ditinggalkan berjam-jam dalam keadaan cedera di
tempat kejadian.
Mereka tidak boleh dibawa ke hospital kerana tentera terus
menembak. Ia adalah pertumpahan darah yang berlangsung selama berjam-jam,
bahkan orang-orang yang melarikan diri dari tempat kejadian dikejar, ditangkap
malah ada yang ditembak dalam keadaan mereka telah cedera. Kita telah melihat
rakaman video yang seolah-olah telah berlaku beberapa jam selepas itu di mana
pihak polis sebenarnya menembak mereka yang telah cedera. Ia sebenarnya adalah
pertumpahan darah dan pembunuhan beramai-ramai. Dan siapa boleh percaya bahawa
pihak rejim rampasan kuasa tentera boleh melakukan sebarang jenis penyiasatan
bebas?
Penyelaras bantahan aman itu, sebaik sahaja mereka tiba di
lokasi Pengawal Republikan malam sebelumnya, menghubungi pejabat utama kelab
Pengawal Republikan dan mewujudkan saluran komunikasi supaya jika apa-apa yang
tidak kena ada saluran komunikasi. 'Apa yang berlaku? Apa yang berlaku di sini?
Adakah anda ingin kami bergerak beberapa blok? 'Terdapat penyelarasan, ia
merupakan satu bantahan secara aman, dan tidak ada alasan yang sah atau
keperluan untuk menembak secara terbuka terhadap peserta bantahan aman. Siapakah
yang mengeluarkan arahan tersebut itu?
Sejauh mana
pentingnya untuk anda terus berada di Rabaa dan apa yang anda fikir tentang
reaksi penduduk tempatan, ada yang mengatakan bahawa mereka telah mula bosan
dengan tindakan duduk bantah ini?
Saya boleh memahami rungutan mereka terhadap
perserta-peserta bantahan aman ini. Terdapat beratus-ratus ribu orang berkumpul
berhampiran dengan tempat tinggal mereka dan ini memberi kesan kepada kehidupan
mereka. Ada yang memahami keperluan dan kesahihan tindakan ini dan bersedia
untuk bersabar dengan kami namun ada yang tidak. Namun pada masa ini, kita
tidak punya pilihan.
Secara literalnya ini adalah Tahrir 2.0. Satu-satunya sebab
mengapa ia tidak berlaku di Tahrir adalah kerana ia kini dipenuhi dengan
molotov koktil dan samseng, itulah sebabnya kami memutuskan untuk tidak
melakukan sebarang konfrontasi kerana pada akhirnya, apa yang kami sedang
lakukan adalah untuk memastikan bahawa bantahan ini adalah bantahan aman dan non-violent. Perjuangan kita adalah adil
dan tiada siapa yang mempunyai apa-apa tuntutan yang lain selain daripada itu.
Kami berdiri bagi menentang satu rampasan kuasa tentera yang mengambil alih
negara kita secara kekerasan.
Kami bekerjasama dengan ramai rakyat Rabaa. Terdapat satu
jawatankuasa penyelaras yang telah ditubuhkan untuk menangani secara langsung
peraturan berkaitan bangunan. Mereka yang berurusan dengan isu-isu seperti
sampah tidak dikutip dengan segera, atau beberapa orang yang tidur di
taman-taman dalam bangunan itu sendiri. Kami menubuhkan jawatankuasa penyelaras
untuk memastikan agar, seboleh mungkin, tidak berlaku tekanan ke atas penduduk
di kawasan tersebut.
Bagi kami, ini adalah tidak lebih daripada satu lokasi pusat
seperti Tahrir semasa revolusi 25 Januari tetapi perarakan yang berlaku sekitar Kaherah
dan kawasan-kawasan di seluruh Mesir yang semakin meningkat bilangan dan saiz
sejak kami mulakan gerakan ini. Kami lakukan duduk bantah ini selama 21 hari,
ia adalah yang paling lama dan ia telah mendapat pengiktirafan daripada rakyat
dan mereka telah merasakan ada ikatan dan hubungan dengan gerakan ini serta
makin ramai yang turut serta untuk bersama-sama.
Malam ini (Khamis) dan esok (Jumaat) bilangannya akan
semakin bertambah. Esok adalah hari Sejuta Lelaki Berarak (Million Man March) yang akan berkumpul di satu lokasi, yang akan
dimaklumkan pada pagi Jumaat. Jadi
gerakan berkaitan duduk bantah ini adalah sangat penting kerana di situlah
berlaku perhubungan dan penglibatan rakyat.
Terdapat laporan yang
mengatakan bahawa orang-orang di Rabaa telah dihalang daripada meninggalkan
kawasan tersebut serta rakyat yang menyertai bantahan ini telah dibayar. Saya
ingin mendengar reaksi anda.
Anda boleh berjalan di sekeliling Rabaa dan bertanya kepada
sesiapa sahaja yang anda mahu. Semuanya berlaku secara terbuka, kita telah
menerima diplomat dari seluruh dunia serta orang-orang Mesir dari kedua-dua
belah pihak, malah mereka yang dari kem anti-Morsi juga telah datang. Rakyat
berada di sini dengan pilihan sendiri, mereka berada di sini untuk mempertahankan
keputusan pilihanraya yang telah mereka lakukan melalui peti undi, untuk
memilih pemimpin bagi negara mereka dan mereka tidak akan membenarkan tentera
untuk mengambil alih hak tersebut , dan mereka memutuskan untuk meningkatkan
usaha bagi mempertahankan hak tersebut.
Ikhwan telah gagal
untuk mengutuk tindakan keganasan terhadap Kristian di seluruh negara.
Mari kita berterus-terang di sini. Sentiasa ada [mengutuk
keganasan tersebut]. Kami tidak pernah mengesahkan keganasan di bawah mana-mana
keadaan. Satu-satunya masa yang pernah kita mengesahkan keganasan adalah ketika
kami berada di bawah penjajahan British, cuba untuk menghalau penjajah keluar
daripada negara kami. Selain daripada itu kami tidak mengiktiraf keganasan
sebagai cara untuk melakukan perubahan.
Di laman web Bahasa
Arab rasmi Ikhwan, Ikhwan Online, minggu ini ada satu artikel yang mendakwa
bahawa Sheikh Al-Azhar bersubahat dengan Gereja Coptic untuk menggulingkan
Morsi. Tidakkah anda fikir bahawa ini adalah satu kenyataan yang bertujuan
menimbulkan kemarahan?
Ia bukan laman web rasmi Bahasa Arab. Ia adalah sebuah laman
web yang memaparkan pandangan ahli-ahli Ikhwan Muslimin dan para penulis. Ia
mewakili pandangan orang ramai, dan sesiapa yang berpendapat bahawa sesuatu
pandangan itu tidak berasaskan fakta yang tepat, maka mereka perlu berbincang
dengan mereka yang menulis itu.
Ikhwan Muslimin menyatakan kedudukan rasmi dengan dua cara:
sama ada melalui jurucakap rasmi (terdapat tiga daripada mereka,) atau melalui
kenyataan rasminya.
Apakah respon anda
kepada kemunculan kumpulan Ahrar yang mendakwa menjadi ahli Ikhwan yang menyeru
kepada perubahan kepimpinan Ikhwan, termasuk untuk mengganti Murshidul Am?
Ia adalah melucukan kerana mereka diketuai oleh Parti
Demokratik Kebangsaan. Itulah jawapan saya.
Adakah terdapat
apa-apa kebimbangan dalam Ikhwan di mana rakyat akan sampai ke tahap di mana
mereka akan berfikir bahawa telah tiba masa untuk berunding tanpa Morsi
dikembalikan ke jawatan Presiden?
Ikhwan Muslimin adalah sebuah organisasi melalui pilihan
sendiri; malah anda membayar 10% daripada pendapatan anda kepada Ikhwan untuk
menyokong pergerakan itu sendiri. Ia adalah dengan pilihan sendiri, jika anda
tidak mahu ia, anda boleh meninggalkannya.
Sesiapa sahaja boleh berbuat demikian tetapi pendirian
Ikhwan, kita mengatakan, tidak. Kami berhak untuk mempunyai pendirian kami
sendiri. Itu sahaja yang kami katakan, kami mempunyai pendirian kami sendiri.
Sesiapa sahaja yang bersetuju dengan pendirian kami adalah dengan kami dan di
kem ini.
Jika seseorang
anggota Ikhwan Muslimin memutuskan untuk berunding tanpa Morsi dikembalikan
sebagai Presiden, adakah dia akan kekal sebagai ahli Ikhwan?
Mereka boleh pergi dan berbincang dengan tentera secara
sendirian, tetapi Ikhwan mengambil keputusan secara demokratik melalui
mekanisme membuat keputusannya, bukan dengan mengikut sesuka hati ahli.
*Nahar Md Nor adalah Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan
IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment